Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) semakin mendapat sambutan dari masyarakat dunia apabila menyaksikan pertambahan peserta pada setiap tahun dari pelbagai negara luar bagi merebut Piala Perdana Menteri.
PABM kali pertama diperkenalkan pada Mac 2007 menyaksikan 23 peserta dari 23 negara yang merangkumi enam buah benua dipertemukan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang mempamerkan kepetahan mereka berbahasa Melayu.
Dengan sambutan dan sokongan yang begitu menggalakkan dari negara-negara dunia serta pujian penghargaan dari Parlimen Malaysia, PABM yang dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi ini telah dijadikan acara utama di dalam kalender tahunannya.
Pada penganjuran kali kedua PABM, seramai 40 orang peserta dari 35 negara dunia telah mendaftarkan diri sebagai pemidato dan memandangkan penyertaan yang meningkat itu menyebabkan ia terpaksa dibahagikan di dalam dua kategori –Antarabangsa dan Nusantara.
Pada tahun berikutnya, PABM 2009 menyaksikan pertambahan seramai 45 orang peserta dari 45 buah negara termasuk penyertaan baru dari negara Itali, Belarus, Republik Checz, Palestin dan Armenia yang menandakan Bahasa Melayu semakin mendapat tempat di hati masyarakat luar Malaysia.
Lebih hebat lagi PABM pada edisi keempat yang diadakan pada tahun 2010 menyaksikan 56 orang peserta dari 51 buah negara pelbagai benua hadir memeriahkan pertandingan yang semakin menjadi sebutan itu.
Ia menguatkan fakta bahawa bahasa ibunda yang menjadi bahasa pertuturan utama bangsa Melayu itu sememangnya diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Difahamkan juga bahawa sebanyak 130 buah institusi pengajian tinggi kini menawarkan kursus-kursus pelbagai peringkat di lebih 45 buah negara di seluruh dunia.
Pada tahun lalu, PABM terbukti menjadi tumpuan para pelajar asing dari luar negara yang mempelajari Bahasa Melayu untuk mempamerkan kebolehan mereka berpidato di dalam bahasa rasmi Malaysia itu.
Dengan penyertaan seramai 63 orang peserta dari lebih 50 negara luar, PABM kali itu sunggu meriah dengan para peserta menunjukkan penguasaan Bahasa Melayu yang lebih mantap dari tahun-tahun sebelumnya.
Bertemakan ‘Pengantarabangsaan Bahasa Melayu’, masyarakat Malaysia begitu terpesona melihat celoteh para peserta berpidato di atas pentas Dewa Planery yang turut ditayangkan secara langsung oleh media penyiaran rasmi, RTM1.
Peserta Turki, Halil Ibrahim dinobatkan sebagai juara PABM 2011 bagi kategori antarabangsa, manakala Amirrudin Abd. Rahman pula muncul juara kategori nusantara dan keduanya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM15,200, piala pusingan, piala iringan berserta sijil penghargaan.
“Saya datang jauh dari Turki, saya amat berterima kasih kepada semua pihak terutama tenaga pengajar yang memberi tunjuk ajar selama ini. Tidak lupa juga kepada rakan-rakan peserta yang sama-sama berusaha untuk pertandingan kali ini,” ujar Halil yang fasih berbahasa Melayu dengan pelat Turki.
Dan PABM 2012 yang dijadualkan bermula pada 29 Februari ini dijangka akan menjanjikan lebih kehangatan apabila difahamkan bahawa seramai 72 orang peserta telah mengesahkan penyertaan mereka kepada pihak penganjur sehingga kini.
Para peserta PABM edisi kelima itu dijangka tiba dinegara ini pada 29 Februari sebelum berentap di atas pentas pidato pada 5 hingga 7 Mac dan malam kemuncak pertandingan yang akan berlangsung pada 8 Mac ini.
Seluruh rakyat Malaysia yang berminat dialu-alukan untuk hadir sama memeriahkan PABM 2012 yang diadakan di PICC, Putrajaya nanti. –Mynewshub.my