Selasa, Mei 17, 2011

Apa Menariknya & Kurangnya dalam Alam Melayu? Siri 2

Prof. Dr. Ding Choo Ming
Penulisan Siri Kedua. 

Kalau sejarah boleh dijadikan cermin untuk kita memandang ke masa depan, lebih-lebih lagi dijadikan pedoman dan pelajaran untuk kita mara ke depan, maka elok diketahui serba sedikit sejarah awal pengajian Melayu yang bermula daripada orang Eropah mempelajari bahasa Melayu, mengumpul manuskrip, menerbitkan hasil penyelidikan, menubuhkan kerusi pengajian di universiti sehingga melahirkan sarjana dan pakar pengajian Melayu. Banyak sudah tercapai di Eropah dalam tempoh 300 tahun sejak abad ke 17 dalam mengasaskan dan mengantarabangsakan pengajian   Melayu.  Dalam tempoh itu, terdapat peralihan daripada politik dan ekonomi kepada ilmu dan kesarjanaan.

Ketika mula-mula sampai di Alam Melayu pada  abad ke 15, orang Eropah tidak berminat kepada bahasa, budaya, sastera dan budaya, malahan orang daripada rumpun Melayu yang menghuni di Alam Melayu, yang terdiri daripada 30,000 pulau. Sikap dingin itu disebabkan mereka bukan sahaja tidak berminat pada bahasa, orang dan budaya orang di luar Yunani dan Latin, tetapi juga perhatian mereka lebih tertumpu kepada perdagangan. Oleh sebab itu,  orang Portugis dan Spanyol yang datang lebih awal daripada orang Belanda dan British tidak banyak meninggalkan pengaruh dan pengajian mereka tentang alam Melayu. Sikap orang Eropah itu hanya berubah pada abad ke 18 setelah Romantisma bertiup kencang di Eropah dan setelah lahirnya seniman agung seperti Byron, Keats, Wordsworth, Beethoven, Schubert dan Muzat. Perlu dinyatakan bahawa gerakan Romantisma itu juga adalah hasil kumulatif daripada kejayaan pengembaraan Marco Polo (1254-1324), lebih-lebih lagi pelayaran Christopher Columbus (1451-1506), Ferdinand Magellan (1489-1521) dan juga Francis Drake (1540-1596). Mereka bukan sahaja “menemui dunia baru”, tetapi juga membawa balik ke Eropah banyak kisah yang menarik, luar biasa dan istimewa  tentang bahasa, budaya dan orang di Afrika, Asia dan Amerika yang belum diketahui orang Eropah sebelum itu. Walau bagaimanapun, abad ke 18 adalah titik permulaan orang Eropah menunjukkan minat  serious mereka  kepada budaya di Alam Melayu, walaupun sudah ada manuskrip Melayu dikumpul dan dibawa ke Eropah sebelum itu, dan raja-raja di England, misalnya, menerima surat daripada raja-raja dari Dunia Melayu. Faktor lain yang mencetuskan minat orang Belanda dan Inggeris, terutamanya, dalam pengajian Melayu ialah kepentingan perdagangan dan  politik, ekuran  persaingan hebat antara  VOC (Vereenigde Oost-Indische Companie) (1602-1874) dan British East India Company (1600-1874).

Setelah mendengar dan membaca kisah pelayaran daripada Magellan,  Columbus, Drake, malahan Marco Polo, orang Eropah mempunyai impian yang indah dan mempesonakan tentang rantau orang lain di kejauhan. Impian itu mendorong orang muda yang membesar dalam tamadun Eropah dan yang tidak pernah nampak orang lain menggunakan bahasa  lain, mengamalkan adat resam yang berbeza, hidup di dunia yang mempunyai flora dan fauna yang lain itu ingn meneroka dan mencari  dunia baru mereka sendiri.. Setelah sampai di Alam Melayu dan melakukan penyelidikan, merekalah kini telah dianggap pakar, dengan hasil penyelidikan dan pendokumentasian mereka dijadikan sumber rujukan, kerana mempunyai kewibawaan ilmu ke atas perkara yang mereka kumpul, kaji dan telah diabadikan dalam rencana dan jurnal. Mereka itulah perintis dalam bidang masing-masing. Bayangkan betapa susahnya mereka membuat kajian sebagai perintis seorang diri di Alam Melayu: terpaksa mempelajari bahasa orang tempatan, tidak kira sama ada bahasa Aceh, Jawa, Batak, Minang, Bugis, Dayak atau Melayu sebagai alat komunikasi, kemudian alat perdagangan dan seterusnya alat kesarjanaan. 

Setelah tertarik hati kepada keindahan bahasa Melayu, Java dan lain-lain, mereka mengumpul manuskrip, cerita rakyat, pantun, peribahasa dan membuat kajian di bidang masing-masing  Itulah antara sebabnya hasil penyelidikan yang paling awal daripada orang Eropah dan Asia ialah penerbitan kamus dan buku nahu. Sehingga kini, tidak kurang 400 buah kamus bahasa Java, Sunda, Batak dan Melayu, besar dan kecil, telah diterbitkan orang Eropah, Jepun dan Cina. Antara orang British yang paling awal mempelajari bahasa Melayu ialah Henry Dacres, Robert Marshall dan William Mainston. Mereka bertugas  di British East India Company di Bantam.  Mainston  didapati telah mengumpul mansukrip Melayu, termasuk Hikayat Muhammad Hanaffiah, selain terkenal sebagai pengarang Gramatica Mallyo-Anglica: The Mallayan Grammar (1682) Sehubungan itu, minat orang British berdagang di East Indies ketika itu telah mencetuskan minat  ke atas pengajian Melayu di England. Bahan awal itu boleh didapati di Bodleian Library, Oxford University, yang telah memainkan peranan sebagai pusat pengajian Melayu pada abad ke 17. Pada 1701, A Dictionary English and Malayo, Malayo and English telah diterbitkan oleh Thomas Bowrey di London. Kamus itu dianggap karya leksikografi yang pertama dan serius di England. 

Sebuah lagi kamus Melayu telah diterbitkan di England pada abad ke 18: A Dictionary of the Malay Tongue, as spoken in the Peninsula of Malacca, the Island of Sumatra, Java, Borneo, Pulo Pinang etc etc in two parts: English and  Malay and Malay and English” oleh John Howison M. D di London pada 1801. Kamus ini disertai nahu bahasa Melayu dan sebuah peta.  Beliau dikatakan telah meniru kerja yang  dibuat Bowrey.  Namun demikian, orang Inggeris yang dikatakan telah mencetuskan gelombang besar dalam pengajian Melayu di England ketika itu tidak lain daripada  William Marsden yang lahir pada 1754. Beliau sudah dihantar ayahnya ke  Bangkahulu, Sumatera, yang telah dikuasai Inggeris pada 1771.  Setelah lapan tahun (dari usia 16 hingga 24) di sana, beliau telah menulis The History of Sumatra pada 1783 dan juga Malay and English Dictionary  pada 1812, selepas bersara pada 1807. Penyusunan kamus bahasa Melayu itu berdasarkan pemerhatian dan penyelidikan beliau ke dalam manuskrip Melayu. Sementara itu, kamus Marsden itu telah melahirkan ramai sekali pakar Melayu di kalangan orang Inggeris di bidang politik, ekonomi, budaya dan bahasa.
 
.... bersambung pada Penulisan Siri Ketiga


Ding Choo Ming
Felo Penyelidik Utama
Institut Alam & Tamadun Melayu
43600 Bangi
Emel: dingukm@yahoo.com

.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger