Ahad, Ogos 29, 2010

Promosi Kraf Aidil Fitri 2010


Pada hari Sabtu 28 Ogos 2010, tujuh orang pelajar dan dua orang guru pengiring telah membuat kunjungan ke Kompleks Kraf Kuala Lumpur bersempena dengan Promosi Kraf Aidil Fitri 2010. Promosi ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada para pengunjung tentang persiapan dan aktiviti-aktiviti yang biasa dilakukan oleh masyarakat Melayu menjelang perayaan Hari Raya. Para pelajar yang hadir terdiri daripada Bridonneau Carole, Bridonneau Jean-Luc, Ayaka Shirota, Kyohei Meguro, Koichi  Tashiro, Taishi Sashikubi dan Yuki Fudewaki. Mereka dibawa oleh Cikgu Jamaliah Isnin  (Cikgu Mali) dan Cikgu Ardiana Ali Amat (Cikgu Ardiana).

Para pelajar dan guru berkumpul di ATMA dan rombongan ini bertolak pada pukul 10.00 pagi dengan menaiki bas UKM yang dipandu oleh En. Shahuddin Md. Dali. Perjalanan kami ke Kompleks Kraf Kuala Lumpur mengambil masa selama lebih kurang 30 minit. Setibanya kami di sana, kami disambut oleh En. Lokman. En. Lokman ialah petugas yang akan memandu kami di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.

Aktiviti kami dimulakan dengan taklimat ringkas dan pemberian brosur tentang Promosi Kraf Aidil Fitri 2010 oleh En. Lokman. Kemuadian, kami dibawa melawat Muzium Kraf dan diberi penerangan ringkas mengenai bahan pameran. En. Lokman memberikan penerangan kepada para pelajar dalam bahasa Melayu.

Selepas lawatan di Muzium Kraf berakhir, kami dibawa ke ruangan Interaktif Kraf. Di ruangan ini, para pelajar berpeluang mempelajari beberapa aktiviti seperti menganyam ketupat, menjahit motif-motif kemasan leher Baju Melayu dan Baju Kurung [seperti: motif tulang belut, mata lalat dan kulit kerang], menghias bekas kuih raya dan cara-cara mencuci peralatan daripada tembaga.



Ayaka, Carole, Kyohei dan Cikgu Adriana sedang belajar menganyam ketupat.
Walaupun susah,  mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk menyiapkannya.


Selepas para pelajar berhasil menyiapkan anyaman ketupat, mereka dibawa ke Batik Conlay di Perkampungan Kraf. Di sini, kami diperkenalkan dengan Kak Anjang, pemilik Batik Conlay.  Kak Anjang akan mengajar kami tentang batik lukis. Batik lukis amat terkenal di Kelantan, Terengganu dan Pahang. 

Pertama sekali, kami diberi taklimat ringkas oleh Kak Anjang sebelum melakukan aktiviti melukis, mencanting dan mewarna batik. Kemudian, kami perlu memilih corak lukisan batik yang kami gemari. Kami perlu menekap dan melukis rekabentuk batik tersebut di atas sehelai kain sutera. Lukisan corak batik disediakan kerana ini ialah pengalaman pertama kami dan kami tidak pandai melukis secara terus di atas kain tanpa panduan. Jika tiada kemahiran yang tinggi, lukisan batik tidak akan cantik.
 

 
Ayaka dan Carole melukis corak batik di atas kain sutera dengan pensil


 Koichi dan Jean-Luc, masing-masing sibuk melukis watak kegemaran mereka 

 
 
 Yuki, Kyohei dan Jean-Luc tekun menyiapkan kerja tangan mereka


 
 Semua pelajar sibuk menyiapkan tugasan mereka

Sebaik sahaja selesai melukis corak batik, para pelajar diajar oleh Kak Anjang untuk mencanting corak lukisan batik tersebut dengan menggunakan lilin yang cair. Proses mencanting corak batik ini diperlukan bagi memudahkan proses mewarna kain sutera tersebut kerana cairan lilin akan mengeras pada garisan lukisan corak batik itu.


Kak Anjang mengajar para pelajar cara-cara mencanting lukisan batik
menggunakan lilin yang cair. Perlu berhati-hati kerana lilin yang cair itu panas.


 
Carole dan Kyohei menguji kemahiran mereka semasa mencanting lukisan corak batik mereka. Hati-hati!
Sebaik sahaja proses mencanting selesai, para pelajar boleh mewarnakan corak batik mereka. Mereka diberi beberapa warna asas dan pelbagai saiz berus lukisan untuk memudahkan mereka melakukan proses tersebut.  


 


  
 
Taishi menyiapkan lukisan batiknya, sangat cantik!

 
Yuki merenung hasil akhir kerja tangannya 

 
          
Inilah hasil akhir kerja tangan para pelajar



Koleksi lukisan batik tulis di kedai Kak Anjang

Aktiviti di Perkampungan Kraf mengambil masa yang panjang kerana para pelajar perlu melakukan kerja dengan teliti agar hasil batik lukis mereka cantik. Walaupun penat, mereka masih lagi boleh meluangkan masa meninjau demontrasi masakan dan pembuatan kuih tradisional yang biasanya dimasak menjelang perayaan Hari Raya. Demonstrasi yang diadakan pada hari itu ialah:
  • Kuih-muih tradisional seperti Kuih Kering, Bahulu, Bahulu Gulung, Kuih Ros, Kuih Siput, Kuih Batang Buruk, Kek Lapis dan Rempeyek
  • Pelbagai Ketupat dan Kuah Kacang
  • Membakar Lemang
  • Memasak Rendang
  • Memasak Bubur Lambuk
  • Memasak Dodol

 
Ayaka menggoreng Kuih Ros atau lebih dikenali sebagai Kuih Goyang
    
  Taishi juga ingin belajar menggoreng Kuih Ros

Carole tidak melepaskan peluang keemasan ini kerana Kuih Ros ialah kuih tradisional kegemarannya

      
Kyohei juga tidak ketinggalan untuk mencuba!

Demonstrasi membakar Lemang
        
Kami berada di Kompleks Kraf sehingga pukul 5.00 petang. Justeru, sebelum para pelajar pulang ke UKM semula, mereka tidak melepaskan peluang mempelajari permainan tradisional Melayu iaitu Congkak. 

Cikgu Mali mengajar Koichi bermain congkak. Congkak ialah permainan tradisional Melayu

Aktiviti pada hari ini bukan setakat mengunjungi Kompleks Kraf Kuala Lumpur tetapi bersambung dengan Program Berbuka Puasa di Puri Pujangga UKM bersama dengan Prof. Dr. Teo Kok Seong. Program berbuka puasa diadakan bagi menggantikan waktu makan tengah hari kerana aktiviti ini dilakukan pada bulan puasa. Ada di antara para pelajar yang mengambil peluang untuk berpuasa kerana mereka ingin merasai pengalaman berpuasa sama seperti umat Islam di Malaysia.       

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger