Isnin, April 11, 2011

Apa Menariknya & Kurangnya dalam Alam Melayu? Siri 1

Prof. Dr. Ding Choo Ming
 
Penulisan Siri Pertama.

Sejak dirasmikan sebagai bahasa kebangsaan Malaysia, bahasa Melayu semakin kukuh  kedudukannya dari masa ke masa.  Kini, semua orang daripada segala lapisan masyarakat kita yang terdiri daripada pelbagai kaum telah menggunakannya: daripada  pelajar di sekolah rendah  kepada .profesor di universiti, daripada orang biasa  kepada ahli politik di parliamen dan juga daripada  pertuturan biasa kepada penulisan buku dan laporan ilmiah. Sinario itu berbeza dari zaman penjajahan Inggeris dahulu, kerana bukan sahaja orang bukan-Melayu tidak mementingkan penggunaan bahasa Melayu, tetapi juga  orang Melayu sendiri, sehinggakan Abdullah Munsyi marah orang Melayu dalam Hikayat Abdullah. Tetapi, keraguan tentang cukup tidaknya perbendaharaan kata bahasa Melayu, sistem bunyi dan ejaan yang tidak selaras, antara yang lain, masih timbul, sehingga   tahun 1980an. Tidak kira apa juga, bahasa Melayu memang sudah berkembang dengan pesat dengan banyak istilah baru dicipta, banyak buku dan akhbar dalam bahasa Melayu diterbitkan, dan  semakin lama semakin banyak orang bukan-Malaysia telah mempelajari bahasa Melayu, sama ada di dalam atau di luar Dunia Melayu, selain banyak buku dan rencana ilmiah sudah diterbitkan orang bukan Melayu. Kini, bahasa Melayu tidak sahaja bukan lagi hak monopoli orang Melayu, tetapi juga sudah menduduki tangga kelima antara bahasa yang paling popular di dunia, terutamanya di Malaysia, Indonesia, Brunei,  Singapura dan  Patani.
          
Namun demikian, bahasa Melayu mesti dikembangkan terus untuk menghadapi tuntutan zaman baru yang sudah melahirkan banyak ciptaan, konsep dan fikiran baru yang perlu disampaikan dalam bahasa Melayu, sebagaimana bahasa Inggeris terus dikembangkan, walaupun sudah menjadi bahasa dunia. Jika tidak, ia akan ditinggalkan zaman  kerana tidak dapat memenuhi kehendak manusia, masyarakat dan  era baru. Ini bermakna kita tidak boleh syok sendiri kerana sudah ada bangunan baru Dewan Bahasa dan Pustaka, kerana sudah ada kamus Dewan Bahasa, kerana sudah ada Universiti Kebangsaan Malaysia dan kerana sudah ada banyak projek gergasi yang menggunakan bahasa Melayu.

Bahasa Melayu kini yang sudah berkembang ke satu puncak perkembangannya itu lain daripada bahasa Melayu yang pernah berkembang ke puncak perkembangannya di zaman Aceh (600-1377 TM),  Majapahit (1292-1520 TM),  Melaka (1389 – 1511) dan juga Johor Riau pada pinggir abad yang ke 19, tetapi mengapa sirkulasi buku (melainkan buku teks sekolah) akhbar dan majalah berbahasa Melayu masih amat kecil berbanding dengan bilangan rakyat Malaysia yang tahu bahasa Melayu? Mengapa  Massa yang diterbitkan Utusan Melayu Sdn Berhad itu sudah terhenti pada 6 Oktober 2004, bilangan 448 setelah 10 tahun penerbitannya yang bermula pada 9 September 1995?  Apakah pula sebab majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka semakin kecil sirkulasi berbanding dengan masa 20 tahun yang lepas? Mengapa tidak  boleh diterbitkan Reader’s Digest dalam bahasa Melayu standard yang boleh dibaca orang Aceh,  Ambon, Batak, Brunei, Dayak, Java, Flores, Kalimantan, Kerinci, Lampong,  Makasar,  Maluku, Melayu, Minangkabau, Senoi, Sunda, Sulawesi, Cina, India dan rakyat lain di Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura?  Jawapan kepada soalan-soalan itu susah diberi kerana melibatkan banyak faktor: daripada linguistik kepada politik, daripada ekonomi kepada pendidikan dan daripada pemasaran kepada kuasa pembelian orang ramai di seluruh alam Melayu. Sehubungan itu, biarlah kita  bertepuk dada dan bertanya selera: apakah yang kurang pada perkembangan diri kita dan bahasa Melayu? Dengan kata lain, walaupun bahasa Melayu sudah maju, tetapi banyak lagi kekurangan dan kelemahannya. Beberapa  kekurangan dan kelemahan itu boleh dilihat daripada  contoh terjemahan seperti atas talian untuk on-line, ambil tempat untuk takes place  dan juga kini take your seat, kesalahan, salah, ralat, terpesung, kesilapan, kesesatan untuk error, mistakes, blunder, fallacy,  wrong, offense,  oversight, wrongdoing,  cupability, fault dan batang seronok untuk joy stick (istilah sains), antara yang lain-lain.
          
Kekurangan dan kelemahan itu pasti boleh diatasi untuk selama-lamanya untuk menjadikan bahasa Melayu bahasa sains dan teknologi, bahasa perubatan dan undang-undang, bahasa teori dan agama, selain bahasa sastera, pantun dan syair. Apa yang diperlukan ialah Malaysia perlu melahirkan lebih banyak pemikir yang berfikir dalam bahasa Melayu dan juga lebih banyak orang bukan-Melayu perlu dilibatkan dalam membuat penyelidikan di  alam Melayu, seperti yang dilakukan orang Belanda, British, Perancis dan German, misalnya, dari dahulu sehingga kini dan yang lain yang  menggunakan bahasa Melayu, seperti peranakan baba / Tionghua di Malaysia dan Indonesia masa lalu.   Dengan penglibatan lebih banyak orang bukan Melayu, perkembangan bahasa Melayu akan maju dengan kadar yang lebih cepat berbanding dengan sekadar bergantng pada usaha dan penyelidikan orang  Melayu. Sepanjang pengetahuan saya, banyak  juga orang Cina dan India mengikuti kursus pengajian Melayu di universiti awam di Malaysia di peringkat ijazah. Mereka  tidak  dapat memberi sumbangan yang seharusnya, kerana tidak melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dan doktor falsafah, lebih-lebih lagi membuat penyelidikan. Yang lulus dengan ijazah pertama dan menjadi guru itu sibuk dengan tugas mengajar, manakala yang lain yang menjadi pegawai tadbir, pengurus dan bekerja sendiri pula sibuk dengan kerja mereka yang tidak memerlukan penyelidikan mengenai hal ehwal alam Melayu atau berfikir dengan menggunakan bahasa Melayu. Untuk menarik minat mereka yang berpotensi membuat penyelidikan dengan berfikir dalam bahasa Melayu, lebih ramai orang bukan Melayu perlu dilantik menjadi tutur, pegawai penyelidik  dan sebagainya untuk sama-sama melahirkan ide baru, gagasan baru, teori baru di bidang kepakaran mereka. Hanya dengan penglibatan seperti itu, dapatlah orang bukan-Melayu itu memberi sumbangan yang diharapkan seperti yang  telah ditunjukkan baba peranakan di Melaka, Singapura dan Pulau Pinang dari 1890an ke 1940an menerbitkan pantun dan akhbar baba, selain orang Cina yang lain yang pernah menyusun “kamus” bahasa Melayu dalam Bahasa Cina dahuhu. Contoh pantun baba dan kamus yang dimaksudkan itu boleh didapati di portal pengajian Melayu di Internet pada alamat www.malaycivilization.com.

Walaupun “kamus” bahasa Melayu yang awal itu bukanlah kamus bahasa Melayu dalam erti kata sebagai sumber rujukan makna perkataan bahasa Melayu, tetapi senarai kata-kata Melayu yang disusun orang bukan-Melayu itu dokumen sejarah tentang minat orang bukan Melayu kepada bahasa Melayu. Kamus Malayu Guoyu yang disusun orang Cina pada 1511 itu  mempunyai sekitar 500 perkataan dengan disertai makna perkataan dalam  bahasa Cina itu telah memainkan peranannya sebagai sumber rujukan penting untuk membolehkan orang Cina berkomunikasi, tanpa guru Melayu, dengan orang Melayu khasnya dan bangsa lain yang hanya tahu berbahasa Melayu, yang sudah menjadi lingua franca di Alam Melayu masa dahulu. Sementara itu, ketika orang Eropah datang ke Alam Melayu pada kurun ke 14, mereka juga mendapati perlu disusun kamus untuk mempelajari bahasa  Melayu supaya boleh berkomunikasi. Untuk memenuhi kehendak itu, Antonio Pigaffeta, orang Itali, telah menyusun senarai sekitar 460an  kata-kata Melayu yang dikumpulnya dari Maluku dengan disertai maknanya dalam bahasa Itali pada 1521.

Ini bermakna penyusunan kamus bahasa Melayu bermula daripada usaha orang bukan Melayu yang ingin mempelajari bahasa Melayu, Sementara itu, orang Melayu, tidak kira yang celek huruf atau tidak, merasa tidak perlu membuat kerja itu kerana mereka rasa sudah pandai berbahasa ibunda mereka. Dengan kata lain, orang Melayu ketika itu tidak mendapati kamus bahasa Melayu seperti itu diperlukan. Sejak itu sehingga tahun 1960an, tidak kurang 150  buah kamus bahasa Melayu sudah diterbitkan, tidak kira sama ada yang disusun orang British, Belanda, Perancis, Jepun atau Cina. Sehubungan itu, perkembangan lain yang cukup menarik ialah ramai sarjana dan pakar bahasa Melayu sudah lahir di Belanda, United Kingdom, Perancis, Germany, Jepun, China, Korea dan Amerika Syarikat, misalnya. Mereka bukan sahaja tertarik kepada kekayaan bahasa Melayu, tetapi juga turut memberi sumbangan besar memperkasakan bahasa Melayu dengan memperkayakan ilmu dalam bahasa Melayu.

.... bersambung pada Penulisan Siri Kedua


Ding Choo Ming
Felo Penyelidik Utama
Institut Alam & Tamadun Melayu
43600 Bangi
Emel: dingukm@yahoo.com

1 comments:

zfc berkata...

Kamus Melayu Cina versi atas talian, perisan komputer, Android and iPhone juga boleh didapati di:
http://ekamus.site88.net

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger