Rabu, Julai 27, 2011

Homestay Sungai Haji Dorani

Peserta bersama keluarga angkat bagi Program Homestay Pelajar KIKBM di Homestay Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor Darul Ehsan pada 22-24 Julai 2011

22 JULAI 2011

Kali ini kami telah berkunjung ke Homestay Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor sebagai memenuhi keperluan aktiviti para pelajar KIKBM. Homestay Haji Dorani terletak di satu kawasan kampung yang di kelilingi dengan hamparan sawah padi yang luas dan menghijau. Ketibaan kami telah disambut oleh pihak homestay dengan begitu sempurna sekali. Tambahan pula, kedatangan kami bukan sekumpulan sahaja tetapi turut disertai oleh kru RTM yang membuat liputan rancangan Xpresi Kembara bersama kumpulan pemuzik “Loudspeaker” yang dianggotai oleh empat orang anak muda dan para pelajar dari Universiti Komunikasi China. Boleh dikatakan inilah kali pertama bagi semua peserta menjejakkan setiap kaki mereka di bumi yang dipenuhi dengan hamparan sawah padi seluas mata memandang. 
 
Para peserta diberi taklimat ringkas berkenaan dengan program homestay di sini

Sesi pengambaran rancangan Xpresi Kembara oleh kru RTM bersama dengan para pelajar KIKBM dan kumpulan pemuzik "Loudspeaker”
 
Para pelajar sedang bersembang dengan ahli kumpulan "Loudspeaker” sebagai salah satu daripada sesi 'shooting' program Xpresi Kembara mereka
 
Muhammad Alif Aiman bersama dengan bapa-bapa angkat dari Homestay Sungai Haji Dorani

Aktiviti Jalan Malam di Sawah Padi

Aktiviti pertama yang kami lalui ialah aktiviti berjalan kaki sejauh lebih kurang 2 km menggelilingi kawasan sawah padi. Aktiviti ini dilakukan pada waktu malam untuk menimbulkan suasana nostalgia yang dialami oleh penduduk kampung ketika melaksanakan urusan seharian mereka di waktu malam dengan hanya ditemani nyalaan ‘obor’ buatan sendiri. Bagi mereka yang dibesarkan di bandar, pengalaman ini agak rumit sekali kerana perlu berjalan dalam suasana yang gelap tanpa diterangi oleh lampu-lampu neon di sepanjang jalan. Ada juga terdetik di hati kami sedikit perasaan takut … perasaan takut dengan kegelapan, kerisauan dan hilang arah pulang ke rumah.

... sebelum berjalan malam, kami sempat lagi beraksi dan bergambar bersama dengan gembira

Berjalan pada waktu malam perlu ditemani dengan nyalaan 'Obor' untuk menerangi laluan yang gelap

Aya dan Daisuke terlibat dalam sesi 'shooting' bersama Loudspeaker   

Aiman, Iffah dan Kak Junaina berjalan malan sambil membawa 'obor' yang hampir-hampir hendak malap

Selepas berjalan jauh, kami semua berehat sambil minum air sejuk ... Penatnya!!! ... Malam ini sudah pasti kami boleh tidur dengan lena

23 JULAI 2011

Aktiviti Membuat Layang-layang

Layang-layang merupakan salah satu permainan yang biasa dimainkan oleh penduduk di kampung ini pada waktu petang. Kali ini kami semua berpeluang mempelajari cara-cara membuat layang-layang dan cuba menerbangkannya setinggi yang boleh … tetapi cuaca dan keadaan angin pada hari itu kurang menyebelahi kami. Layang-layang yang diharapkan untuk terbang tinggi ke langit biru hanya terdampar di tepi dinding …  

Emi, Tsubasa, Minami dan Kazuki tekun menyiapkan layang-layang mereka


Kak Junaina, Sarah dan Hanan dengan layang-layang mereka


Layang-layang yang telah siap dihias ... cantik tak? Nabilah, Cikgu Mali, Cikgu Nura dan Emi


Aya dan Cikgu Adriana


Layang-layang kami sudah siap dan boleh diterbangkan


Iffah sedang berusaha menaikkan layang-layangnya ...Macam ada yang tidak kena sahaja?


Ahhh ... tingginya layang-layangku terbang ... nun jauh di atas


Emi, Minami, Kazuki dan Cikgu Nura


Aktiviti Menumbuk Padi Secara Tradisional

Kali ini kami berpeluang mempelajari salah satu teknik menumbuk padi secara tradisional dengan menggunakan lesung tangan. Lesung tangan digunakan untuk menumbuk buah padi bagi menghasilkan beras. Beras yang dihasilkan akan bercampur dengan antah, sekam dan lain-lain.

Selepas proses menumbuk padi selesai, kami perlu menampinya dengan menggunakan alat penampi padi. Alat ini digunakan untuk memisahkan biji beras dari kulitnya selepas ditumbuk Apabila proses menampi dijalankan, angin dari persekitaran akan menerbangkan kulit biji padi yang lebih ringan dari biji beras. Di sinilah wujud proses pengasingan biji beras dan kulitnya.


Lesung tangan


Hanan. Aya, Daisuke dan Iffah sedang melakukan proses menumbuk padi dengan lesung tangan




Emi Kaneko menumbuk padi

Hanan juga cuba untuk menumbuk padi

Beginalah proses mengasingkan beras dan kulitnya ... bukan senang hendak makan nasi ya!

Sila ke tepi, saya mahu menampi padi ...

 
Aktiviti Menggagau Ikan


Bendang (petak sawah) yang digunakan untuk aktiviti menggagau ikan

Aktiviti menggagau ikan ini adalah salah satu keseronokan yang tidak dapat dibayangkan oleh anak-anak bandar khususnya. Biasanya, aktiviti menggagau ikan ini dilakukan selepas habis padi dituai di sesebuah petak sawah dan mereka perlu turun ke bendang untuk menggagau ikan tersebut.

Walaupun menggagau ikan ialah satu kerja yang tidak memerlukan kepakaran yang tinggi, tetapi ia juga memerlukan sedikit pengalaman dan rasa berani. Jika sekiranya masih ada perasaan geli, takut kotor atau takut termakan selut kerana terjatuh, kita tidak akan dapat menggagau ikan dengan baik. Kemahiran ini sangat berguna lebih-lebih lagi apabila mengejar ikan yang licin seperti haruan dan keli. Cabaran besar bagi golongan kurang pakar ialah rasa sakit kerana terkena duri ikan puyu atau sengat keli, terjatuh kerana termasuk di dalam selut yang dalam atau mencari lubuk-lubuk tempat ikan bersarang manakala cabaran terbesar bagi golongan pakar ialah untuk berlumba-lumba mencari ikan terbesar. Ikan-ikan di dalam bendang tidaklah besar-besar seperti ikan di sungai, tetapi tidaklah menghairankan pula sekiranya seseorang penggagau mendapat ikan haruan sebesar lengan orang dewasa.

Selalunya ikan puyu ialah ikan yang paling banyak di dalam bendang padi. Lazim pula jika kita tergagau ikan haruan dan keli manakala ikan sepat ialah ikan yang agak jarang ditemui. Ikan puyu mempunyai duri yang tajam di sekitar siripnya dan sebenarnya tangan penggagau lebih banyak terluka akibat duri puyu berbanding sengat keli yang berbisa itu. Ikan haruan pula tidak mempunyai apa-apa senjata untuk mempertahankan diri, tetapi badannya yang licin menyukarkan penggagau mendapat ikan tersebut.



Artikel: Menggagau Ikan

Abang Zul, Tsubasa dan kumpulan "Loudspeaker" sedang mencuba nasib menggagau ikan di petak sawah ... Macam kekok sahaja!


... hati-hati nanti jatuh ... badan sakit, ikan pun lari


... cari, jangan tak cari ikan ... dapat ikan nanti boleh masak

... Ahhh penatnya, mana ikan-ikan di sini?

Aiman rasa ... macam sudah dapat tangkap ikan .... kita tengok dan lihat

...akhirnya, dapat juga ku tangkap kau Si Keli






Makan Nasi Ambeng


Nasi Ambeng

Apa itu 'Nasi Ambeng'. Ini adalah merupakan makanan tradisi masyarakat Jawa. Banyak juga bahan-bahan yang diperlukan untuk menyiapkan satu hidangan 'Nasi Ambeng' yang sempurna. 'Nasi Ambeng' ini biasanya dihidangkan di dalam dulang semasa kenduri.

Waktu makan, para jemputan hanya jamah sedikit sahaja, kemudiannya akan membungkus nasi ambeng tersebut untuk dibawa pulang. Tuan rumah akan menyediakan daun pisang, kertas surat khabar dan tali setiap seorang. Dalam satu talam, hidangan dibahagi kepada 4 bahagian.

Bagi masyarakat Jawa, hidangan nasi ambang (disebut ambeng) adalah menu istimewa yang disajikan pada majlis tertentu seperti kenduri arwah atau kenduri kesyukuran. Kunikan nasi ambang adalah pada cara sajiannya.

Jika dimakan secara berhidang, nasi akan dibentuk seperti busut manakala lauk pauk akan diletakkan di atasnya dengan berlapik daun pisang. Satu hidangan boleh dimakan antara empat hingga lima orang. Cara untuk menikmati hidangan nasi ambang ini juga unik. Sambil duduk bersila tangan masing-masing bersilang-silang mencubit dan menggaul lauk pauk dengan nasi dalam dulang beralaskan daun pisang. Meraka yang tidak biasa atau tidak pernah melihat situasi begitu tentu merasa kurang selesa tetapi itulah keunikannya yang mempunyai maksud tersirat.

Bagi anggota keluarga, cara itu dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan manakala bagi saudara dan jiran dapat merapatkan siratulrahim dan membentuk nilai persaudaraan.

Nasi ambang juga disebut nasi berkat yang diberikan kepada saudara mara atau orang yang jauh yang menghadiri majlis kenduri masyarakat Jawa sebagai bekalan dibawa pulang sebagai menghargai kehadiran mereka.

Lazimnya, nasi berkat ini diedarkan kepada jemaah selepas majlis kenduri di masjid. Aroma nasi ambang yang bercampur lauk pauk dibungkus panas-panas dalam daun pisang memang membangkitkan selera.

Bagi anak Jawa yang tinggal di bandar, pastinya sukar mencari nasi ambang yang benar-benar asli. Jika adapun restoran yang menyediakan nasi ambang,rasanya tidak sama dengan yang dinikmati di kampung.

Nasi ambang yang disusun molek dalam dulang boleh mengandungi pelbagai lauk wajib seperti ayam masak kicap, sambal goreng, mi atau bihun goreng, ikan kering, tempe goreng dan serunding kelapa yang jadi penyedap rasa.

Serunding kelapa untuk nasi ambang diperbuat daripada kelapa yang diparut, digoreng tanpa minyak dengan api perlahan bersama bumbu iaitu camuran bahan yang dikisar seperti cili, udang kering,jantan manis, jintan putin, bawang, lengkuas, kunyit hidup, garam, gula dan gula merah.


Sesetengah lauk pauk tersebut ada kalanya sedikit berbeza mengikut daerah dan tempat. Contohnya, di Johor sesetengahnya diletakkan bergedel dan tumis kacang panjang. Ada juga yang menyajikan nasi ambeng dalam pingan biasa dengan kuah sedangkan nasi ambeng sebenar tidak banyak kuah manakala nasi dibentuk cantik.
Bagaimanapun, lauk asasnya sama iaitu ayam sama ada digoreng, masak kicap atau 'ungkep' (ayam dimasak bersama rempah), sambal goreng dan serundeng kelapa.

Artikel: Maksud Tersirat Disebalik Keunikan Hidangan Nasi Ambang (Berita Harian Sabtu, 9 Oktober 2010)



Sarah, Hanan, Aya dan Cikgu Adriana sedang menikmati hidangan Nasi Ambeng


Tsubasa, Emi, Daisuke dan Cikgu Mali sedang menikmati hidangan Nasi Ambeng


Cikgu Nura, Minami dan Kazuki juga sedang menikmati hidangan Nasi Ambeng

Aiman, Iffah dan Kak Junaina sedang menikmati hidangan Nasi Ambeng ... agak-agak boleh habis?


Persembahan Tarian Kuda Kepang

Permainan kuda kepang ialah sejenis tarian pahlawan berkuda yang berasal dari Jawa, Indonesia. Ia turut dibawa oleh penghijrah-penghijrah ke Tanah Melayu. Permainan ini kini merupakan salah satu permainan rakyat di Indonesia dan Malaysia, khususnya di negeri Johor, dan biasa dimainkan di majlis perkahwinan atau di majlis keramaian.


Kuda Kepang
Permainan kuda kepang memerlukan sekurang-kurang 25 orang seperti berikut yang terdiri daripada 9 orang penari, 5 orang pemain muzik, 2 orang yang bertindak sebagai "Bomoh Pemulih" dan 9 - 15 orang penjaga kawasan.  Bagaimanapun dalam sesuatu persatuan, jumlah ahlinya adalah sebanyak 40 orang. Seorang daripada penari-penari itu bertindak sebagai pemimpin yang dipanggil "Danyang". Pemain-pemain biasanya berpakaian seragam.

Kuda kepang biasanya dipersembahkan di tempat terbuka atau di atas pentas yang besar. Sebelum tarian bermula, Tok Bomoh akan membakar kemenyan dan membaca jampi untuk memberikan tenaga kepada kuda-kuda. Beliau menggunakan telur mentah, bunga, rumput, dan air untuk persembahan.

Dikawali oleh seorang "danyang" yang melecutkan pecut untuk menentukan rentak tarian, setiap penari akan naik ke atas kuda masing-masing. Apabila muzik mula bergema, penari-penari yang dipimpin oleh "danyang" itu masuk ke gelanggang. Rentak muzik bermula dengan perlahan dan agak membosankan. Setiap penari akan menunggang dan memacu kuda menurut pola yang ditentukan oleh rentak dan irama lagu itu.

Ketika muzik menjadi lebih pantas, kuda-kuda akan menderap dengan lebih laju. Kekadang pihak penganjur akan merentang kain licik untuk pemain menitinya. Penari-penari boleh melakukan pergerakan yang aneh dan luar biasa seperti bersilat melompat-lompat setinggi enam kaki dan sebagainya. Semasa penari dalam keadaan sedemikian, bunyi-bunyian yang mengiringi tarian ini akan bertambah rancak. Kononnya jika alunan muzik tidak rancak, penari-penari akan akan menerkam atau menendang pemain muzik seakan-akan kuda yang sedang berang.

Penari-penari menari selama dua jam sehingga mengalami keadaan bersawai, terpukau dengan kehebatan pergerakan-pergerakan mereka. Ketika mabuk, mereka kekadang akan bermimpi menunggang kuda yang benar sambil menari-nari dengan iringan muzik. Disebabkan itu, mereka mencuba mengejar muzik itu. Keadaan ini dipanggil "naik syeh". Jika keadaan bertambah liar dan tidak dapat dikawali, Tok Bomoh akan mengarahkan pengawal-pengawal yang ditempatkan di setiap sudut gelanggang untuk menangkap dan merebahkan mereka ke tanah, dan seterusnya Tok Bomoh akan membaca jampi untuk memulihkan mereka.

Kumpulan pemain kuda kepang diperlukan menyerahkan pengeras kepada Tok Bomoh untuk persembahan. Pengeras ini terdiri daripada kemenyan, air mentah, nasi campur dengan lauk ayam dan sayur, serta beberapa jenis kuih. Selain itu, kumpulan pemain juga dikehendaki menyerahkan wang sebanyak RM2.25 kepada tuan rumah atau penganjur untuk Tok Bomoh persembahan. Kumpulan pemain mengenakan bayaran yang tidak kurang dari RM200 untuk setiap persembahan.

Sebagai pantang larangan dalam permainan kuda kepang, pemain-pemain tidak boleh diacah semasa dalam permainan atau ketika sedang mabuk kerana ditakuti akan melarat dan menjadikan keadaan tidak terkawal. Pemain-pemain juga tidak boleh melihat kain merah kerana ini merupakan pantang larangan semulajadi. Selain itu, pemain-pemain juga tidak boleh terlihat kaca kerana takut bahawa mereka akan makan kaca itu.

Artikel: Kuda Kepang

Semua sedang bersabar menanti persembahan kuda kepang


para pelajar KIKBM dan para pelajar Universiti Komunikasi China


Persembahan kuda kepang


Tarian kuda kepang juga diiringi dengan 'Barongan' yang menyerupai harimau




Khusyuknya semua orang termasuk Alef (Loudspeaker)


Tsubasa Yoshida berperanan sebagai 'Danyang'


Sempat juga kami bergambar dengan 'Kuda Kepang'


24 JULAI 2011


Lawatan ke Sekolah Integrasi Sabak Bernam






















3 comments:

Herda_Husna berkata...

salam.nak tnya ni.macam mana ye nak contact ngan pihak homestay sana untuk program anak angkat? boleh bagi no contact orang tersebut tak? sebab kami cadang hendak buat program anak angkat disana juga. =))

Diari KIKBM berkata...

Salam. Herda Husna, boleh lihat maklumat tentang Homestay Sungai Haji Dorani di sini ... http://www.go2homestay.com/homestay-haji-dorani/

Herda_Husna berkata...

Ok. Terima kasih =))

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger