Jumaat, Mei 31, 2013

Travelog Jepun Ke 2: Melalui Perspektif Lensa


Kawasan Perumahan

Bersambung daripada artikel bulan lepas,  mengenai budaya menghormati isyarat lalu lintas. Ketika itu usia saya baru 17 tahun dan saya mengikuti adik angkat saya yang berbangsa Jepun ke sekolah. Saya berfikir sejenak mengapa mereka sangat menghormati budaya baik lalu lintas. Terfikir saya, “Mungkin kerana mereka bangsa yang maju”. Mereka sanggup berhenti sebentar di persimpangan kecil di mana sangat kurang kereta lalu lalang di jalan itu. Sekarang ini, saya mungkin dapat meneka kenapa mereka perlu menghormati isyarat lalu lintas. Ia adalah kerana budaya Jepun itu sendiri. Budaya ini telah tertanam sejak mereka kecil lagi. Dari aspek ini, saya berfikir bagaimana para ibu mendidik anak-anak mereka dalam menjadi bangsa yang dikenali oleh masyarakat dunia sebagai bangsa yang bersopan santun.  Mereka bukan sahaja bersopan santun, malah sanggup menjaga imej dan maruah orang lain supaya tidak tercalar. Ini antara aspek utama yang perlu diambil kira jika mahu bergaul dengan orang tipikal Jepun.  Amalan ini berkemungkinan besar mempengaruhi fikiran mereka apabila membuat keputusan dalam mengikuti isyarat lalu lintas jalan. 

Kereta menunggu isyarat keretapi melintas

Di lintasan keretapi berdekatan dengan kawasan perumahan

Dalam perjalanan ke sekolah, kami berbasikal merentasi kawasan perumahan. Perjalanan ini boleh katakan mengambil masa dalam 20-30 minit. Ia sepertinya agak jauh tetapi penglihatan saya tertumpu pada persekitaran perumahan Jepun.  Rumahnya sepertinya mempunyai bentuk yang pelbagai. Sebagai bangsa yang berasal dari Malaysia, kita boleh takrifkan rumah-rumah mereka seperti rumah kartun animasi Jepun iaitu Doraemon. Ini adalah apa yang saya dapat lihat dan keadaannya berbeza jika dibandingkan dengan rumah-rumah di kawasan yang berbudaya asing. Kebanyakannya rumahnya adalah kecil-kecil belaka. Jika dilihat dari pandangan aerial, seseorang boleh mengetahui betapa rapatnya susunan rumah-rumah mereka. Ini jelas kelihatan apabila saya pertama kali menjejakkan kaki ke negara matahari terbit. 


Rumah tipikal Jepun

Struktur reka bentuk rumah tipikal Jepun
Dalam minda, saya membuat perbandingan antara susunan rumah di Malaysia dan di Jepun. Sangat jelas ia adalah sesuatu yang kontras. Dari kapal terbang, saya lihat akan kawasan rata tanah Jepun. Ia sangatlah padat dan sangat banyak benda yang terbina di kawasan yang kecil. Tambahan lagi, rumahnya juga pada pandangan mata saya adalah tidak membosankan kerana bentuknya yang comel serta warna yang menceriakan mata. Kebanyakan rumah di Jepun adalah rumah jenis banglo. Mereka akan membeli lot dan kemudian membina rumah dari ‘kosong’.  Mereka membina rumah menggunakan material dan style yang juga mungkin berbeza. Saya berkata begini kerana dinding luaran rumah tidak seperti bahan yang digunakan untuk membuat dinding di Malaysia. Mereka tidak banyak menggunakan bahan yang berasaskan konkrit dan hal inilah saya lihat rumah Jepun adalah rumah yang mempunyai struktur binaan yang cantik. Warna yang digunakan juga tidak terlalu bosan tidak terlalu menyakitkan mata. 

Kawasan hadapan rumah yang mempunyai tanaman sayur
Selain itu, saya mendapati kawasan persekitaran sesebuah rumah dihiasi dengan taman yang mempunyai keunikannya yang tersendiri. Dari sinilah, saya lihat bangsa Jepun adalah bangsa yang menyukai sesuatu yang cantik. Mereka sangat mahir dalam menghiasi kawasan rumah mereka dengan tanaman yang pelbagai bentuk. Ada yang menanam pohon bonsai, ada yang menanam sayur-sayuran dan tidak kurang juga ada yang menanam pokok yang mengeluarkan bunga. Saya juga ingin menyentuh mengenai budaya mereka menanam sayur-sayuran. Walaupun tanah adalah sangat terhad, tetapi semangat mereka untuk menanam jelas kelihatan. Kali kedua menjejakkan kaki ke Jepun saya berpeluang untuk berbasikal dan meronda kawasan perumahan dengan lebih lama. Semakin banyak rumah yang mempunyai kebun yang saya dapat lihat dan semakin tertimbulnya rasa ingin tahu akan budaya Jepun. Jika ada peluang, anda semua boleh lihat dengan mata sendiri akan apa yang berlaku di kawasan perumahan mereka.

Sayur ditanam bersebelahan rumah

Pendek kata, kemahiran mencantikkan taman susah hendak dilihat jika negara itu bukan Jepun dan China. Sepertinya mereka mempunyai konsep yang mantap dalam menghasilkan taman yang cantik. Bayangkan jika konsep ini diaplikasikan untuk rumah kita dan dihiasi oleh pepohon sakura. Jadi apabila tiba musim bunga, maka keadaan persekitaran rumah akan dipenuhi oleh bunga sakura yang mengembang. Ini memberikan gambaran yang menarik dan mendamaikan jiwa. Dari luar rumah, saya dapat melihat susunan rumah adalah sangat rapat dan ini menjelaskan kenapa rakyat Jepun mengalami isu akan kekurangan tanah. Walau bagaimanapun, dari apa yang saya perhatikan, keadaan ini juga mungkin memberi sedikit sebanyak manfaat bagi masyarakat setempat Jepun. Mereka mempunyai peluang dan keberangkalian bagi saling mengenal antara satu sama lain dan sekaligus memberikan pengertian yang bermakna bagi masyarakat setempat.  


Suasana waktu pagi di kawasan perumahan

Seperti yang diketahui, Jepun adalah masyarakat yang mengamalkan budaya berkelompok. Budaya ini menekankan semangat bersatu padu, bekerjasama, tidak mementingkan diri sendiri dan semestinya bukan individualistik.  Budaya Jepun adalah budaya yang mementingkan konsep dimana sesuatu itu adalah susah untuk berjaya jika ia dilakukan secara berseorangan lagi-lagi apabila mementingkan diri sendiri. Masyarakat Jepun juga percaya bahawa pengaturcaraan kehidupan mereka sangat memerlukan bantuan orang lain.  Mereka juga perlu membantu orang lain supaya sesebuah kelompok dapat berjaya dengan cemerlang.  Jadi disini timbulnya persoalan yang adakah benar antara faktor negara Jepun menjadi negara maju adalah disebabkan budaya persamaan taraf? Dari pandangan saya, ia sangat menyumbang untuk menjadi negara maju yang mempunyai identitinya yang tersendiri. Pada zaman ini,  Jepun sudah menunjukkan kepada masyarakat dunia yang mereka adalah bangsa yang tidak mementing diri sendiri, apatah lagi jika ia melibatkan bangsanya sendiri. 

Jalan yang Kecil dan Tidak Bernama

Satu lagi aspek unik Jepun adalah jalannya yang kecil serta kebanyakannya tidak mempunyai nama jalan. Ia seakannya menyusahkan orang untuk menyusuri di kawasan perumahan yang tertentu.  Hal ini kadang-kadang membuatkan saya agak sedikit sukar jika mahu berbasikal tetapi perkara ini mungkin sudah tidak menjadi masalah bagi penduduk tempatan Jepun.  Apa yang saya lihat, sistem penamaan kawasan perumahan Jepun agak berlainan kerana mereka tidak sangat menekankan nama jalan tetapi menggunakan nama kawasan. Jadi apabila seseoarang mahu pergi ke sesuatu kawasan ataupun mahu pergi ke rumah yang tertentu, mereka perlu mengingat akan bangunan-bangunan yang berdekatan dengan rumah tersebut. 

Jalan yang kecil di kawasan perumahan

Walau bagaimanapun, apabila anda sudah biasa, maka tidak lagi menjadi masalah. Itu apa yang saya rasa apabila sudah selalu dibiasakan dengan berbasikal di kawasan  persekitaran rumah keluarga angkat saya.  Di Jepun, seseorang tidak mampu untuk berbasikal atau memandu kereta dengan laju lagi-lagi di tempat di mana rumah-rumah didirikan.  Jalannya yang kecil menyukarkan pergerakan kenderaan walaupun menunggang basikal.  Walau bagaimanapun, Jepun adalah negara yang mengamalkan keselamatan rakyatnya. Di hampir setiap penjuru simpang jalan dan selekoh, terdapat cermin yang membantu penglihatan pemandu kenderaan supaya mereka dapat melihat kenderaan lain dari arah bertentangan. 

Pemandangan biasa jalan di kawasan perumahan


Bersambung…… 


Hasil Nukilan:

Nama saya Kamal Zharif bin Kamaludin. Saya mempunyai pengalaman bekerja di Shanghai, China selama 2.5 tahun. Ketika di sana, minat fotografi semakin bercambah dan mula menceburkan diri dalam bidang fotografi lanskap iaitu apa sahaja berkaitan dengan pemandangan alam semula jadi dan juga suasana di bandar. Pada akhir tahun 2012, saya mula meletakkan jawatan di Shanghai dan mula memberi fokus pada kerjaya yang saya mahu capai. Saya mahu menjadikan Jepun sebagai arah bagi cita-cita saya. Melalui perkara ini, saya akan mencari idea yang menarik supaya saya mampu membawa rakan-rakan di Malaysia untuk melihat Jepun dengan lebih mendalam lagi. Berbekalkan dengan beberapa kemahiran seperti kemahiran 'membuat' foto, saya mahu mengaitkannya dengan cita-cita saya serta dapat juga disampaikan dalam bentuk penulisan. Tambahan lagi, saya sangat berharap bahawa rakan-rakan yang mampu saya bawa ke Jepun dapat memberi sumbangan yang bermanfaat kepada orang yang lain pula. Jika diberikan kesempatan, saya mahu menulis lagi apa yang menarik mengenai Jepun dan apa yang boleh dipelajari darinya. Setelah itu, saya mahu mendokumentasikannya dalam bentuk penulisan buku, artikel dan juga beberapa media utama yang lain. 
 
Anda boleh hubungi dan kunjungi hasil fotografi saya di:

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger