Khamis, Mac 03, 2011

Bahasa Ibunda Medium Warisan Budaya Bangsa

PROF. DR. TEO KOK SEONG
 
Identiti komuniti akan berubah jika tidak disebar kepada generasi muda

SEJAK tahun 2000, tanggal 21 Februari diisytiharkan sebagai Hari Bahasa Ibunda Sedunia oleh UNESCO, sebuah badan dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal pendidikan, sains dan budaya. Hari ini diperkenal untuk memperingati selain menegaskan betapa pentingnya peranan bahasa sebagai warisan bangsa.

Bahasa ibunda antaranya adalah istilah yang merujuk kepada bahasa leluhur sesuatu kelompok etnik. Sama ada ia bahasa besar atau sebaliknya, bahasa ibunda penting dalam kehidupan sesuatu kelompok itu, khususnya dalam konteks budaya diamalkan. Dalam konteks ini, ia adalah salah satu daripada beberapa kaedah utama, yang membolehkan kelompok berkenaan menyebar serta mewariskan budayanya kepada generasi muda.

Sehubungan ini, dialek Melayu Kelantan adalah penanda identifikasi kepada budaya kelompok Melayu di Kelantan. Identifikasi ini antaranya boleh wujud dalam kata, makna, idiom dan nahu dialek Melayu itu, serta amalan bahasa dipraktikkan oleh Orang Melayu Kelantan.

Cara menyebar dan mewariskan budaya melalui bahasa, boleh mengambil pelbagai bentuk. Antaranya termasuk lagu, puisi, cerita, dan seni. Penyebar dan pewarisnya pula boleh terdiri daripada orang perseorangan, kumpulan, pertubuhan kebudayaan dan kesenian, dan institusi rasmi, seperti yayasan. Dalam hal ini, bahasa ibunda sebenarnya adalah wahana penting, untuk memastikan elemen budaya, seperti sejarah, sistem nilai, kepercayaan dan sosial, terus tersebar dan diwarisi.

Untuk Malaysia, dalam menyambut Hari Ibunda Sedunia ini, kita boleh antaranya meraikan kepelbagaian bahasa ibunda dan budaya kaum yang ada dalam negara ini. Sambutan sebegini sudah tentu dapat mempromosikan peranan dan kepentingan bahasa dalam pembangunan dan kewujudan budaya mapan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang etnik. Pendekatan begini juga bertepatan dengan keadaan sosiobudaya yang pelbagai di negara ini.

Apabila berbicara mengenai budaya mapan, dan dalam kes Malaysia sebagai pelbagai budaya yang terus mantap dan kekal, selain tidak akan pupus, dalam konteks peranan bahasa untuk menjamin pelestariannya, kita sebetulnya perlu memastikan bahasa ibunda kita, terus dituturkan, khususnya oleh generasi muda.
Sehubungan ini, ramai antara kita selalu beranggapan bahawa bahasa ibunda kita, sama ada dialek Melayu Kelantan, bahasa Cina suku Hokkien, ataupun bahasa Orang Asli Semai, tidak mempunyai banyak nilai, jika dibandingkan dengan bahasa besar, seperti bahasa Melayu Standard, bahasa Mandarin, dan bahasa antarabangsa seperti bahasa Inggeris. Justeru, ramai ibu bapa tidak lagi mewariskan bahasa leluhur kepada anak mereka.

Sesungguhnya pandangan begini adalah salah sama sekali. Ia antaranya dilihat dari segi peranan bahasa Cina suku Hokkien misalnya, yang didapati tidak mempunyai banyak sumbangan terhadap kehidupan dunia moden, khususnya dalam memperoleh ganjaran kebendaan.

Dalam konteks bahasa leluhur, kehilangan walaupun satu daripadanya di muka bumi ini, misalnya bahasa Temuan dalam kalangan Orang Asli, bukan saja menjadi musibah kepada komuniti bahasa berkenaan. Tetapi ia adalah juga kerugian besar kepada kita di Malaysia khasnya, selaku rakyat Malaysia, dan juga kepada dunia amnya, yakni kita semua sebagai umat dunia.

Setiap bahasa itu didapati berkait rapat dengan objek, nilai, kebijaksanaan, hubungan kekeluargaan, pertalian interpersonal, dan sifat persekitaran yang merangkumi sumber asli, flora dan fauna. Semua ini dikenal pasti dan dibentuk oleh penutur natifnya sebagai tradisi serta keunikan budaya mereka.

Hubung kait antara bahasa dan cara hidup harian inilah yang menjadi satu ciri kehidupan yang akan hilang apabila bahasa hilang. Apabila ini berlaku, komuniti bahasa berkenaan akan menjadi kelompok yang kehilangan arah bahasa. Ini antaranya bermakna mereka tidak lagi mengetahui kata yang sepatutnya digunakan, untuk mengungkapkan sesuatu yang ingin dan perlu diperkata.

Dengan kata lain, bahasa lain yang dikuasai untuk menggantikan bahasa ibunda yang hilang itu, akan menjadikan komuniti bahasa berkenaan satu kelompok yang tidak mempunyai hala tuju, dari segi identiti kebahasaan, untuk seketika waktu. Apabila dan selepas bahasa lain dipelajari dan dikuasai, budaya asal komuniti berkenaan akan berubah. Ia tidak lagi diamal dalam bentuk dan cara asalnya.

Dengan ini, kata dan istilah yang lazim digunakan tidak diguna pakai lagi. Banyak kata, rangkai kata, dan kalimat daripada bahasa lama menjadi ganjil dan tidak sesuai digunakan dalam latar dan konteks baharu yang menggunakan bahasa lain itu. Dalam keadaan begini, banyak kata dan istilah baharu akan menggantikan yang lama.

Sebenarnya kata dan istilah baharu itu hanya pandangan yang hampir saja, justeru tidak pun tepat maksudnya. Makna tepat serta pengertian sepunya, tidak akan dikongsi dan difahami bersama-sama lagi oleh seluruh komuniti berkenaan, seperti yang berlaku pada kata dan istilah lama dalam bahasa ibunda yang hilang itu.

Satu masa yang agak lama diperlukan bagi komuniti berkenaan, untuk berkongsi dan memahami kata dan istilah baharu itu, secara bersama-sama sebagai satu komuniti bahasa. Walaupun, pada akhirnya ia dapat dilakukan selepas mengambil beberapa waktu, budaya asal itu tidak terungkap lagi, yakni tidak mampu dinyatakan lagi dalam bahasa lain, dengan menggunakan konteks bahasa lama.

Atas kesedaran inilah, Malaysia perlu memperingati Hari Bahasa Ibunda ini. Tujuannya adalah untuk menyedarkan rakyat Malaysia, mengenai peri pentingnya bahasa ibunda kita, yang pada lazimnya adalah bahasa kecil. Sesungguhnya bahasa kecil ini perlu senantiasa dipelihara dan dipupuk, agar sejarah kita dapat selalu dikenang oleh generasi muda.

Sehubungan ini, kita tidak boleh sama sekali membiarkan walaupun satu bahasa leluhur di Malaysia ini hilang. Sambutan ini akan bukan saja memperlihatkan, tetapi memperkasakan hubung kait antara bahasa dan budaya, dalam konteks kepelbagaian bahasa dan budaya rakyat Malaysia.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

bhnews@bharian.com.my
2011/03/02

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger