Isnin, Julai 04, 2011

MALAYSIA SEBAGAI MODEL PERPADUAN

Nozomi Kurahashi di Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2011
 
Dari Pauh Singgah Permatang
Singgah merapat papan kemudi
Dari Jepun, jauh saya datang
Kerana Malaysia yang baik budi

Baik budi Tuan dan Puan
Tumpang sayang belas kasihan
Malaysia sebagai Model Perpaduan
Itulah topik yang menjadi pilihan

Yang mulia Tuan Pengerusi Majlis, Barisan hakim yang Arif lagi Adil, Def def kehormat yang diraikan, sidang hadirin yang dihormati serta rakan rakan pemidato yang saya kasihi sekelian.

SALAM SEJAHTERA, SALAM BAHAGIA DAN SALAM SATU MALAYSIA!

Malaysia Sebagai Model Perpaduan adalah satu ungkapan yang tidak asing lagi yang selalu kita dengar baik di Malaysia sendiri maupun dipersada antarabangsa.

Perpaduan yang menjadi tunggak dan mercu aspirasi Negara Malaysia ini sebenarnya telah  wujud sejak Negara ini mencapai kemerdekaan dalam tahun 1957 lagi.  Cogan kata ini dapat kita lihat dengan jelas terpampang dalam JATA NEGARA MALAYSIA dengan moto yang berbunyi “BERSEKUTU BERTAMBAH MUTU”.

Aspirasi ini telah diperkukuhkan lagi dengan penubuhan Lembaga Perpaduan Negara dalam tahun 1974 sewaktu pentadbiran Tun Hussein Onn yang dikenali sebagai Bapa Perpaduan Malaysia.

Lembaga Perpaduan Negara ini adalah bertujuan untuk membina sebuah masyarakat yang bersatu, demokratik, adil, liberal dan progresif berlandaskan prinsip prinsip Rukun Negara.
                        
Ia juga berperanan menyemai perasaan muhibbah, kerjasama dan memupuk semangat cintakan Negara dikalangan pelbagai kaum di Malaysia dalam usaha untuk mencapai satu masyarakat yang bersatu padu, membina satu perasaan yakin dan percaya terhadap Kerajaan dikalangan rakyat disamping menggalakkan hubungan yang lebih erat antara rakyat dengan kerajaan.

Bak kata pepatah Melayu,

Seikat seperti sirih, serumpun seperti serai
Duduk sama rendah, Berdiri sama tinggi
Yang ada dimakan bersama,
Hati gajah sama dilapah,
Hati kuman sama dicecah
Bulat air kerana pembentung
Bulat manusia kerana muafakat.  


Aspirasi Perpaduan Negara ini telah terus berkesinambungan sehingga saat ini Perpaduan Rakyat Malaysia telah menjadi satu “Role Model” di mata dunia.  Malaysia boleh kita ibaratkan sebagai satu Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu yang unik dan tersendiri.

Sebagai buktinya pada bulan Ogos tahun lalu Malaysia telah dipilih sebagai tempat persidangan GLOBAL MODEL UNITED NATIONS.  Malaysia adalah Negara kedua setelah persidangan itu buat julung kalinya diadakan di Geneva dalam tahun 2009.
                               
Menurut Naib Setiausaha Agung persidangan itu Encik Kiyo Akasaka “Adalah tidak dapat disangkal lagi untuk mengatakan bahawa Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu yang sebenar akan dapat mempelajari banyak perkara dari Model Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu tahun ini yaitu tidak lain dan tidak bukan ialah Malaysia.

“Tak Tumbuh Tak Melata, Tak Sungguh Orang Tak Kata”
    
Berkat adanya Perpaduan yang erat dikalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum telah membawa kepada kestabilan politik dan ekonomi Negara ini, yang telah menarik ramai pelabur asing dan juga para pelancong dari luar Negara.

Untuk pengetahuan sidang hadirin sekelian,

Malaysia merupakan Negara pilihan No 1 untuk destinasi “My Second Home” bagi para pesara warga Jepun setelah Hawaii dan Australia kerana Malaysia adalah Negara yang Mesra Warga Emas lagi aman dan makmur serta selamat.

Sidang hadirin yang saya muliakan, bukan mudah untuk menjadikan Malaysia sebagai Model Perpaduan seperti yang dapat kita lihat pada hari ini.  Ianya adalah hasil dari usaha gigih yang melibatkan gembelingan tenaga dikalangan para pemimpin dan rakyat dari segenap kaum.

Baik Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Mahathir, Datuk Seri Abdullah Badawi hinggalah kepada Datuk Seri Najib sedar bahawa Perpaduan rakyat Malaysia adalah Teras Kemakmuran Negara.  Maka itulah Pentadbiran Malaysia dibawah pimpinan Datuk Seri Najib memilih slogan “Rakyat didahulukan, Pencapaian di utamakan”

Segala permasalahan rakyat perlu diselesaikan dengan penuh prihatin dan bijaksana agar perpaduan tidak tergugat, seperti kata pepatah Melayu “Ular biar mati, tanah jangan lekuk, kayu jangan patah”. "Bak menarik rambut dari tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak

Sidang hadirin yang mewakili Satu Malaysia yang saya cintai,

Menurut Professor Ulung Malaysia Profesor Dato Dr.Shamsul Amri sewaktu membentangkan kertas kerja beliau di Universiti Pengajian Bahasa Asing Tokyo pada 10 hb Julai tahun lalu, katanya Presiden Obama sejak menjadi Presiden Amerika Syarikat telah menyebut Malaysia sebagai Negara Model sebanyak 6 kali di merata dunia.                                        

Malah Profesor Dato.Dr.Shamsul Amri sendiri telah dilantik sebagai ahli jawatankuasa pembentukan Referendum Negara Sudan sebagai  wakil Bangsa Bangsa Bersatu supaya dapat memberikan idea dalam pembentukan Negara baru Sudan menerusi Aspirasi Perpaduan rakyat Malaysia.

Begitu juga sewaktu kunjungan Setiausaha Negara Amerika Hillary Clinton ke Malaysia baru baru ini. Beliau telah terpegun dengan kemajuan yang telah Malaysia capai dalam beberapa tahun ini, dan menganggap “Malaysia sebagai sebuah Negara Model, yang perlu diketengahkan sebagai satu contoh kepada Negara Negara lain”.

Sidang hadirin yang budiman,

Tidak ada harta yang paling berharga bagi sebuah Negara berbilang bangsa seperti Malaysia selain Perpaduan. Tidak ada ancaman yang lebih besar bagi Negara berbilang agama dan kebudayaan seperti Malaysia selain dari permusuhan kaum dan sudah terbukti bahawa tidak ada tokoh dan pemimpin lain dalam dunia ini yang telah memperlihatkan kesungguhan yang lebih besar untuk menghadapi semua ini melainkan para pemimpin MALAYSIA.

Sidang hadirin yang saya sanjungi, antara bidalan melayu lama berbunyi “Jikalau sepohon kayu banyak akarnya lagi teguh … apakah ditakutkan ribut melanda? yang bermaksud apabila sudah ada perpaduan, segala cabaran akan dapat diatasi.
                          
Salah satu daripada teras utama untuk pembangunan modal insan dalam Rancangan Malaysia Ke 9 adalah Memperkukuhkan perpaduan nasional dan membangunkan masyarakat yang mempunyai perspektif dan progresif.

Akhir sekali ingin saya tegaskan bahawa sememangnya Malaysia Sebagai Model Perpaduan tidak dapat disangkal lagi Perpaduan Malaysia berlandaskan kepada kekuatan hubungan ethnik yang harmonis berkat kerjasama para pemimpin dan rakyatnya seperti mana yang kita lihat hari ini dan akan terus berkesinambungan selagi hayat dikandung badan.

Sebagai penutup bicara serangkap pantun pengakhir kata,

Pak Bilal memukul taboh
Taboh di pukul di Masjid Pekan
Berpadu Teguh, Bercerai Roboh
Satu Malaysia terus Amalkan


Sekian salam hormat dari saya dan terima kasih Malaysia.

Pemidato: Nozomi Kurahashi
Guru Pembimbing:  En. Saiful Bahari Ahmad (Cikgu Saiful)
Universiti Pengajian Bahasa Asing Tokyo (Tokyo-Gaidai)





* Nozomi Kurahashi ialah bekas pelajar KIKBM dan di dalam pertandingan ini beliau telah bertanding dan berjaya sehingga ke peringkat separuh akhir. Pihak KIKBM mengucapkan tahniah kepadanya.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger