Ahad, Ogos 02, 2015

PABM 2015: Bahasa Melayu Lambang Ketinggian Budi Bahasa



SEMPENA Pertandingan Pidato Antarabangsa 2015 (PABM 2015) yang akan berlangsung bermula 4 Ogos ini dilihat mampu terus memartabatkan penggunaaan bahasa rasmi Malaysia iaitu Bahasa Melayu di kalangan penduduk dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, walaupun bahasa Melayu berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam usaha untuk menginstitusikannya namun beberapa langkah diambil kerajaan untuk terus memartabatkannya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak

Salah satunya adalah menerusi PABM yang mana melibatkan pembabitan peserta dari negara luar yang mempelajari bahasa Melayu dalam pengajian mereka.

10 Tajuk Jadi Taruhan Pemidato PABM 2015

“Kita semua tahu keupayaan bahasa Melayu. Bahasa itu menjadi bahasa wahana tinggi dan bahasa ilmu yang boleh mengajarkan pelbagai displin ilmu selain menjadi bahasa pertuturan seharian. Ia juga menjadi bahasa yang melambangkan ketinggian budi bahasa dan ketamadunan kita.

“Memang mudah untuk bercakap tentang usaha memperkasa bahasa Melayu, khususnya di peringkat antarabangsa. Namun malangnya, peranan tersebut lebih banyak digerakkan oleh institusi kerajaan berbanding oleh rakyat biasa. Bahasa Melayu tidak akan membawa sebarang makna sekiranya ia berkembang dan berkisar hanya di kalangan penutur bahasa itu sahaja atau di kalangan penggunanya yang setia. Memperkasa bahasa Melayu memerlukan sokongan dan dokongan rakyat,” kata beliau sempena PABM 2015 yang akan berlangsung di Bangi dan Putrajaya.

Para peserta PABM 2015 sedang khusyuk mendengar sesi taklimat di Hotel RHR@Uniten

Amanat PM itu dipetik menerusi laman web PABM

Selain itu, PM turut positif bahasa Melayu mempunyai potensi yang sangat besar selain keupayaan bahasa itu sendiri dalam mengajar penutur asing.

Memberi contoh di Eropah Barat, yang mana sastera dan budaya Melayu diajar secara meluas di institusi pendidikan yang berpengaruh, selain penerbitan berpuluh ribu artikel mengenai perihal bahasa Melayu di sana.

“Seluruh masyarakat penutur bahasa Melayu harus mengambil kesempatan dari perubahan besar kuasa ekonomi global yang sedang berlaku sekarang yang memperlihatkan peralihan pola dari barat ke timur. Perubahan ini turut melibatkan dunia Melayu. Tindakan bjiak di kalangan pencinta bahasa mampu mentranformasikan hasrat menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia yang dominan,” kata beliau lagi.

Menutup kata, Najib berharap agar PABM akan terus mengisi kalendar tahunan Kementerian Pendidikan Malaysia selain penglibatan lebih banyak negara bangsa bagi mengangkat martabat bahasa Melayu ke satu kedudukan yang tinggi dan gah di persada dunia.


Oleh:  JULIANA JOHAR
Sumber Berita: MYNEWSHUB.CC


0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger