Rabu, Mac 18, 2015

Naoko Bangga Kuasai Muzik Tradisi Melayu



DALAM kemalapan sambutan anak Melayu terhadap warisan seni, hadir sekujur figura asing yang cuba memahami dan mempelajari adat kebudayaan tersebut.
Terbang dari Negara Matahari Terbit, Naoko, 23, masih bertatih ketika berbicara dalam bahasa ibunda kerana tahap penguasaan bahasa Melayunya baru bermula.
Apakah yang mendorong gadis Jepun itu menuntut ilmu mengenai budaya dan adat Melayu?
"Saya masih ingat lagi ketika bercuti bersama keluarga sewaktu berumur lapan tahun. Kami sempat mengunjungi destinasi wajib pelancong seperti Melaka, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
"Walaupun kunjungan itu sudah lama, tetapi kenangan percutian masih basah dalam ingatan, seperti baharu semalam datang ke sini," ujarnya ketika ditemui Kosmo! dalam persalinan baju kurung songket persis gadis Melayu.
Sejak itu, Naoko mula mengikuti perkembangan Malaysia dari jauh dan memasang impian untuk ke sini pada masa akan datang.
"Selain persekitaran yang indah dengan sejarah dan budaya, hati saya tertawan dengan corak kepimpinan mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
"Pada saya, beliau merupakan salah seorang pemimpin Asia yang sangat berkaliber dalam membangunkan Malaysia seperti yang kita lihat hari ini," kongsi pelajar Jurusan Kemanusiaan di Fakulti Kemanusiaan, Undang-Undang dan Ekonomi, Universiti Mie, Jepun.
Disapa dengan jolokan nama Melayu, Salmah, dia kini berada di Malaysia selama setahun untuk mengambil Kursus Intensif Keterampilan Bahasa Melayu di Fakulti Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Rakan-rakan banyak membantu Naoko mempelajari gamelan

Pembelajaran Asas
Menurut Naoko, cara terbaik untuk mengenali budaya adalah dengan memahami rentak muzik tradisional.
"Ia saling berkait antara satu sama lain. Malah ketika proses pembelajaran secara tidak langsung saya berinteraksi bersama pelajar lain," jelasnya.
Berasal daripada perkataan Jawa, gamel, gamelan menjadi alat muzik penting di beberapa negeri di Indonesia seperti Kepulauan Jawa, Madura, Bali dan Lombok. Ia merupakan himpunan alat muzik seperti gambang, gendang, gong, saron, demong dan keromong.
Ketika ditemui, Naoko baru sahaja menamatkan pembelajaran asas gamelan dalam satu majlis ringkas di UKM. Mempersembahkan beberapa buah lagu dalam rentak gamelan, Naoko berasa puas kerana mampu menguasai salah satu alat muzik tradisi orang Melayu.
"Saya mempelajari tiga jenis alat muzik gamelan iaitu bonang, gambang dan saron. Tetapi, saya hanya mampu menguasai saron kerana ia lebih mudah berbanding peralatan gamelan yang lain," kongsinya yang berkebolehan bermain instrumen tradisional Jepun seperti koto dan seruling shinobue.
"Bunyi yang terhasil daripada gamelan sangat sedap untuk didengar. Menguasai alat muzik ini merupakan satu pencapaian kepada saya," ujar Naoko.
Pensyarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Abdul Khalil Hassan merupakan individu yang bertanggungjawab dalam menulis kembali nota-nota muzik untuk lagu-lagu klasik gamelan seperti Lambang Sari, Geliung, Ketam Renjong, Togok, Gagak Seteru dan lain-lain.
Menurut Abdul Khalil, muzik gamelan pada suatu ketika boleh dimainkan dalam istana Melayu sahaja. Ia tidak dibenarkan dibawa keluar dari istana dan hanya dipersembahkan kepada umum pada acara-acara tertentu.
"Namun atas usaha Tan Sri Dr. Abdul Mubin dan Profesor Madya Dr. Arif Ahmad, gamelan dapat dimainkan di luar istana. Objektifnya adalah untuk mengelakkan ia terus lenyap ditelan peralihan zaman," ujarnya ketika ditemui di Aswara baru-baru ini.
Satu set gamelan baharu telah dibeli di Solo, Indonesia yang menjadi satu-satunya lokasi untuk membuat dan menempa alat muzik itu.
Sejarah gamelan di Tanah Melayu bermula pada pemerintahan Sultan Ahmad Muadzam Shah di negeri Pahang. Isteri baginda, Tengku Ampuan Wan Fatimah telah mengembangkan muzik gamelan dan diteruskan oleh isteri keduanya iaitu Cik Zubedah.
Set gamelan Pahang itu kemudiannya dibawa ke Istana Maziah Terengganu oleh Tengku Ampuan Mariam iaitu anakanda kepada Sultan Ahmad dan Cik Zubedah selepas perkahwinannya dengan Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah pada tahun 1913.
Kemangkatan Sultan Sulaiman pada tahun 1942 menyebabkan Mariam berpindah ke Istana Kolam dengan membawa set gamelan bersama dua orang bekas penarinya.
Naoko mahir bermain alat muzik traditional Jepun yang dikenali sebagai Kato

Pengamatan
Ketika bekerja di bawah Kumpulan Budaya Negara (KBN) pada tahun 1974, Abdul Khalil telah belajar bermain gamelan daripada generasi pertama yang dibenarkan bermain alat itu di luar istana iaitu Pak Ayob di Terengganu.
"Proses pengajaran berdasarkan pengamatan cara bermain sahaja kerana mereka tidak pandai menulis nota-nota muzik. Malah, ia jauh lebih lama berbanding nota muzik yang saya buat kerana sebelum ini gamelan dimainkan bersama tarian istana," ujarnya.
Gamelan Melayu, kata Abdul Khalil, merupakan serapan dari Kepulauan Riau dan dibawa masuk ke Pahang pada majlis perkahwinan diraja ketika itu.
Mengulas mengenai perbezaan antara gamelan Melayu dan negeri-negeri Nusantara yang lain, Abdul Khalil berkata, ia dapat dilihat melalui laras nada atau dipanggil slendro pentatonik, manakala gamelan Jawa mempunyai laras pelog.
"Gamelan Bali atau dipanggil Gong Kebyar mempunyai perbezaan yang ketara. Hal ini kerana gamelan merupakan penyatuan budaya, adat dan agama di Bali. Mereka menjadikannya sebagai pengantara kepada tiga unsur tersebut dalam upacara-upacara agama dan persembahan kebudayaan.
"Disebabkan itu, hari ini, Bali terkenal dengan mainan gamelan yang tersendiri. Dari segi pembelajaran pula, ia lebih sukar berbanding jenis gamelan yang lain. Ia dimainkan dengan cara pantas dan hanya dipersembahkan oleh kaum lelaki," ujarnya.
Abdul Khalil memberitahu, untuk mempelajari muzik gamelan, pelajar perlu tangkas menggunakan alat-alat seperti keromong, gambang dan gendang. Kenong, saron dan demong boleh dipelajari dengan mudah selepas menguasai tiga alat utama itu.
Ukiran dan reka bentuk alat gamelan juga mempunyai perbezaan ketara. Gamelan Melayu mempunyai lengkungan ke atas di hujung alat muzik itu.
Lagu Khas
Gamelan Jawa pula dibentuk dengan melengkung ke bawah. Selain itu, gamelan Melayu menggunakan motif bunga-bungaan berbanding gamelan Jawa atau Bali mengambil corak haiwan seperti naga dalam kebanyakan hiasan.
Selepas empat tahun bersama KBN, Abdul Khalil berpindah ke Pusat Kebudayaan Universiti Malaya. Sewaktu bersama institusi pengajian tertua negara itu, dia mencipta lagu gamelan khas untuk majlis konvokesyen yang seterusnya menjadi ikutan universiti-universiti lain.
Kumpulan Gamelan Slendro meneruskan legasi kegemilangan alat muzik itu

Percaya muzik tradisi harus dipertahankan, Pusat Kebudayaan UKM di bawah pimpinan Yusuf Budin telah menubuhkan Kumpulan Gamelan Slendro pada tahun 1998. Sehingga kini mereka mempunyai lebih 100 orang ahli yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.
"Ahli-ahli kumpulan ini terdiri daripada pelajar dan bekas pelajar UKM. Ia turut disertai oleh individu luar seperti pensyarah dari Malaysian Japan Institute, pegawai-pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri dan lain-lain," ujar pengurus kumpulan itu, Abdul Mukmin Hamdan.
Pengetahuan muzik gamelan dalam kalangan masyarakat hari ini, menurut Mukmin masih belum jelas apabila sering mengaitkannya dengan alat muzik caklempong yang mempunyai beberapa persamaan terutamanya jenis alat yang digunakan.
"Caklempong dan gamelan mempunyai banyak perbezaan dari segi sejarah dan cara permainannya. Ia tidak boleh disamakan sama sekali," ujarnya.
Orang awam sering tersalah tafsir persamaan bentuk fizikal keromong untuk gamelan dan gereteh pada caklempong. Keromong mempunyai 10 biji gong kecil manakala gereteh terdiri daripada 15 biji.
"Kami masih dalam perbincangan untuk membuka kelas kepada kanak-kanak kerana mendapat permintaan daripada ibu bapa. Ia menunjukkan muzik gamelan mula mendapat perhatian umum," tambahnya.
Kumpulan Gamelan Slendro pernah dijemput untuk mengadakan persembahan di beberapa buah negara seperti Turki, Indonesia dan Australia.

Kosmo! Online: Hakcipta terpelihara
3 Julai 2013

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger