Mukadimah
NAMA PROFESOR DR. WU ZONG YU mungkin asing bagi kebanyakan kita. Namun
semangat dan iltizam beliau sebagai orang pertama yang memperkenalkan
Bahasa Melayu di peringkat universiti di China nyata begitu mengagumkan.
Malah tidak keterlaluan jika membandingkan keazaman beliau dengan
mereka yang gagal menguasai Bahasa Melayu di negara ini sebagai
memalukan.
Pengarah Pusat Pengajian Melayu-China yang berpangkalan di
Universiti Pengajian Bahasa Asing Beijing memulakan pengajaran Bahasa
Melayu di sana dalam keadaan yang begitu daif tanpa sebarang bantuan
malahan buku.
Bagi Zong Yu yang dianugerahi Ijazah Kehormat Doktor Persuratan dari
Universiti Malaya mempelajari Bahasa Indonesia di Peking University pada
tahun 1956 dan mula menerima pelajar Bahasa Melayu angkatan pertama
pada tahun 1962.
Dalam keadaan yang sukar antaranya kekurangan buku dan tenaga
pengajar, Zong Yu sendirian mengkaji dan menyusun bahan pengajaran.
Kini, usaha dan baktinya mengembangkan pengajian Melayu di negara
tersebut telah mencecah tempoh 51 tahun dan pada usia 74 tahun beliau
masih terus bersemangat dan gigih meningkatkan usaha itu.
Dalam wawancara yang dihadiri Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Utusan,
DATUK DR. FIRDAUS ABDULLAH dan Wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL
HAMID, beliau berkongsi pandangan mengenai keperluan menguasai Bahasa
Melayu oleh semua kaum di negara ini.
Perbualan:
MINGGUAN: Bagaimana Prof. boleh terlibat dalam pengajaran bahasa Melayu di negara China?
WU ZONG YU: Saya merupakan perintis program bahasa Melayu di
Universiti Pengajian Bahasa Asing Beijing yang bermula pada tahun 1961
ketika saya berusia 23 tahun. Pada peringkat awalnya saya diberitahu
akan hadir beberapa tenaga pengajar dari Malaya untuk membantu selain
dibekalkan buku yang mencukupi. Namun itu tidak berlaku malah saya
diberi tugas untuk menubuhkan Jurusan Bahasa Melayu di universiti
berkenaan yang juga pertama di negara China. Saya mengajar pelajar saya
dan pada masa yang sama juga belajar bersendirian untuk memperbaiki
Bahasa Melayu. Saya mesti berdikari untuk mengajar Bahasa Melayu dan
semangat inilah yang telah menggembirakan saya sehingga sekarang.
Sehingga lebih 30 tahun iaitu sekitar 1996 menanti barulah tenaga
pengajar dari Malaysia sampai. Walaupun Malaysia dan China menjalin
hubungan diplomatik pada tahun 1974 namun masih tidak terdapat sebarang
bantuan dalam pengajaran Bahasa Melayu di China. Buku pertama yang saya
terima bertajuk, Sarah pengarang kecil yang juga bersaiz kecil.
Peringkat awalnya sangat sukar dan terlalu teruk kerana kami tidak
disediakan sebarang buku malah hanya saya seorang yang menjadi tenaga
pengajar untuk 16 pelajar pertama kursus berkenaan.
Saya umpama meraba-raba dalam kegelapan kerana keadaan serba
kekurangan ini. Dalam keadaan yang amat susah kerana kekurangan buku dan
tenaga pengajar, saya bertindak sendirian dalam menyusun bahan
pengajaran dan mengkaji sendiri segala ilmu tentang Bahasa Melayu
walaupun saya belajar pengajian Bahasa Indonesia sebelumnya. Terlalu
banyak ranjau yang saya terpaksa tempuhi dan akhirnya setelah menamatkan
kursus yang pertama dua orang pelajarnya telah diambil untuk menjadi
pembantu saya.
Saya juga begitu ingin untuk berbual dengan mereka yang boleh
bertutur dalam Bahasa Melayu tetapi tidak ada. Ini kerana saya sendiri
pun tidak pasti apakah yang saya tutur dan ajarkan pada anak murid itu
betul atau tidak kerana tidak pernah berbual atau berbincang apa yang
betul dan salah. Malah saya juga hingga ke tahap menyimpan bungkusan
plastik gula-gula yang tertera tulisan Melayu kerana begitu ingin
melihat dan membaca dalam Bahasa Melayu. Mungkin bagi orang lain ia
tidak mempunyai makna tetapi bagi saya ia sangat berharga. Saya tidak
akan meletak jawatan mahupun bersara sekarang kerana ia telah menjadi
darah daging saya serta tidak mahu mengalah dengan dakwaan bahawa Bahasa
Melayu tidak boleh berkembang di China. Tetapi satu perkara yang
membuatkan saya berbangga adalah saya mendapat begitu banyak sokongan
daripada saudara-saudara Melayu saya di Malaysia untuk meneruskan usaha
ini.
MINGGUAN: Bagaimana Prof. melihat keadaan segelintir orang bukan Melayu di
negara ini yang tidak ada kesungguhan untuk menguasai Bahasa Melayu?
WU ZONG YU: Bagi saya paling utama adalah tidak perlu dipolitikkan
isu Bahasa Melayu ini kerana ia tidak akan membawa sebarang keuntungan.
Tetapi jika wujud perasaan perkauman yang menebal dan tidak mahu bersatu
dengan bangsa lain ia akan menimbulkan kesukaran. Yang penting kita
mesti menggalakkan perpaduan sesama pelbagai bangsa di dalam negara.
Kita juga tidak perlu mengungkit perkara-perkara yang lepas dan apa
yang telah dilalui oleh generasi lama perlu dibiarkan. Yang penting
sesama generasi muda mereka perlu bersatu padu sesama semua kaum dan
perlu menguasai Bahasa Melayu kerana ia adalah bahasa rasmi di negara
ini. Kita perlu mewujudkan pelbagai program dan wacana yang mampu
membuatkan generasi muda pelbagai kaum untuk berinteraksi sesama mereka.
MINGGUAN: Bagaimana Prof. melihat terutama generasi muda supaya mengeratkan perpaduan melalui penggunaan bahasa kebangsaan?
WU ZONG YU: Saya melihat generasi muda ini umpama kertas putih yang
suci. Mereka berkelakuan baik ketika kecil dan kesilapan generasi tua
yang mengakibatkan kertas putih ini bertukar kotor. Jika kita lihat
keadaan ketika kanak-kanak masih di tadika yang mana tidak ada satu
perasaan perkauman. Saya terfikir alangkah bagusnya jika semangat tanpa
perkauman itu kekal sehingga mereka dewasa.
Oleh itu adalah sangat penting untuk kita mengekalkan perasaan
harmoni antara semua kaum terutama melalui bahasa. Bagi saya mungkin
kertas putih akan diwarnai pelbagai warna apabila semakin dewasa tetapi
tidak ada salahnya kerana yang penting ia perlu umpama lukisan yang
diwarnai pelbagai warna menarik dan bukan seperti contengan hodoh yang
tidak memberi sebarang makna. Bagi saya itulah ibaratnya sebuah
perpaduan walaupun berbeza bangsa dan kaum tetapi warnanya tetap menarik
jika ia mendapat sentuhan yang betul.
MINGGUAN: Pada pandangan Prof. bagaimana untuk melukis gambaran yang cantik yang Prof. gambarkan umpama warna perpaduan pelbagai kaum?
WU ZONG YU: Semangat ini perlu kekal walaupun setelah tamatnya tadika
dan para belia khususnya perlu diberi peluang untuk melibatkan diri
dalam pelbagai aktiviti yang boleh mewujudkan perpaduan sesama kaum.
Paling penting tidak perlu ada sebarang niat untuk mempolitikkan isu
bahasa dan kaum kerana ia sangat berbahaya dan boleh mencetuskan
perasaan tidak selesa antara kaum. Kita perlu melakukan sesuatu dari
sudut perpaduan negara. Saya melihat dari sudut diri saya sendiri. Saya
berasal dari negara China dan saya kagum melihat perpaduan kaum di
negara ini namun saya tidak akan mencampuri urusan politik di negara
ini.
Namun saya melihat lebih kepada hubungan akrab antara dua negara ini
yang boleh dikembang dan menjadi rapat. Walaupun saya orang Cina tetapi
saya berbangga dapat belajar, mengguna dan kemudian mengajar Bahasa
Melayu kepada orang Cina di negara saya. Malah usaha saya ini mendapat
sokongan dan pujian dari saudara-saudara Melayu di sini dan saya tidak
akan berhenti untuk terus mengajar kerana ia sudah sebati dengan diri
saya. Tetapi pada masa yang sama saya juga perlu mendorong untuk
mewujudkan perpaduan antara kaum di negara ini bukan kerana saya orang
Cina tetapi ia adalah perkara yang sepatutnya dilakukan bukan sahaja di
negara ini tetapi di semua negara yang mempunyai pelbagai kaum di
dalamnya. Saya menyimpan hasrat supaya penduduk Malaysia bersatu padu di
bawah slogan 1Malaysia.
MINGGUAN: Mungkin Prof. melihat ada perkara yang boleh dilakukan untuk mengeratkan hubungan antara kaum?
WU ZONG YU: Saya melihat Bahasa Melayu adalah medium penting dalam
mengeratkan hubungan antara kaum di negara ini. Namun kita perlu
mengkaji kenapa hubungan antara kaum yang bermula mesra ketika kecil dan
tadika tidak mampu diteruskan di peringkat sekolah dan dewasa. Saya
juga melihat kenapa penduduk di negara ini masih tinggal berasingan
berasaskan kaum. Contohnya orang Cina di kawasan tertentu manakala orang
Melayu dan India pula di kawasan lain. Alangkah bagusnya jika semangat
kejiranan pelbagai kaum ini menjadi amalan menyeluruh di negara ini.
Memang ia sudah berlaku tetapi usaha perlu dijalankan untuk mengukuh
persaudaraan berasaskan semangat kejiranan yang tinggi antara pelbagai
kaum.
Ini adalah antara perkara yang kita boleh bincangkan secara ilmiah
dan bagaimana cara kita boleh selesaikannya. Jika di waktu kecil mereka
boleh tenggelam dalam satu persahabatan erat, kenapa ia tidak boleh
diteruskan sehingga mereka dewasa. Saya tertarik dengan keadaan yang
saya lihat di Kelantan ketika berkunjung ke negeri itu lebih kurang 20
tahun lepas. Ada sebuah kampung berhampiran Sungai Kelantan yang saya
tidak ingat namanya dan mereka mempunyai semangat perpaduan antara kaum
yang sangat tinggi dan saling hormat menghormati antara satu sama lain.
Saya lihat ada beberapa buah rumah yang dihuni orang Cina tetapi
mereka hidup berjiran dengan semangat perpaduan yang tinggi dengan jiran
mereka yang majoritinya orang Melayu. Penduduk Cina ini begitu
menghormati terutama dari sudut pemakanan dan tahu yang mana halal dan
haram. Perkara sebeginilah yang perlu ditekankan supaya semua orang
boleh menghormati antara satu sama lain supaya keharmonian dan perpaduan
akan menjadi lebih kukuh dan ikhlas.
© Utusan Melayu (M) Bhd
0 comments:
Catat Ulasan