Di dalam penulisan ini, saya memperkenalkan pendidikan moral dan modul pengajarannya. Pendidikan moral merupakan mata pelajaran yang menekankan aspek-aspek kerohanian, kemanusiaan dan kemasyarakatan. Tumpuan khusus akan diberi kepada pemupukan, penghayatan dan amalan nilai murni yang terdapat dalam agama, tradisi dan adat resam pelbagai kaum di Malaysia, sejajar dengan nilai murni sarwajagat. Pemupukan dan penghayatan nilai-nilai ini akan menyumbang ke arah pembentukan insan yang mulia dan bertanggungjawab selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara Malaysia. Masyarakat yang berilmu, bertatasusila, berbudi dan penyayang akan memenuhi hasrat negara bagi mewujudkan masyarakat yang damai.
Mari kita mengalihkan pokok perbualan kepada pendidikan yang konkrit. Pendidikan moral di sekolah rendah memberi tumpuan kepada usaha memupuk kekuatan kerohanian dan kemoralan murid melalui penghayatan dan amalan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia yang terdapat dalam agama, tradisi dan adat resam pelbagai kaum di negara ini. Dengan itu, murid-murid dapat membina satu panduan hidup yang membolehkan mereka menjadi individu yang bertanggungjawab moral dan sosial terhadap segala keputusan dan tindakan yang dilakukan nanti. Beberapa prinsip utama telah dikenalpasti sebagai panduan dalam melahirkan insan yang menyeluruh daripada segi jasmani, intelek, emosi, rohani dan sosial. Prinsip-prinsip itu adalah bertanggungjawab kepada diri, keluarga dan orang lain; berpegang teguh kepada ajaran agama; prihatin kepada alam sekitar; mengekalkan keamanan dan kerohanian hidup; bersemangat patriotik; menghormati hak asasi manusia; dan mengamalkan prinsip demokrasi dalam kehidupan.
Bagaimana dengan kurikulum? Di dalam penulisan ini, saya menumpukan pengajaran pendidikan moral di peringkat sekolah menengah. Kurikulum pendidikan moral sekolah menengah mengandungi tujuh bidang pembelajaran yang menjadi wahana untuk menyampaikan nilai-nilai murni di kalangan murid-murid. Bagi membolehkan nilai-nilai murni dipupuk secara berterusan dalam diri murid-murid, bidang pembelajaran dan nilai yang sama diajar dalam setiap tingkatan iaitu dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5. Walaupun bidang pembelajaran dan nilai itu sama, skop dan penekanan isi pembelajaran adalah berbeza kerana isu-isu moral yang dikemukakan semakin kompleks dan mendalam selaras dengan tahap keperluan dan kematangan murid-murid.
Misuzu Yamazaki (Mahsuri)
Tahap 5
1 comments:
Misuzu, teruskan usaha kamu untuk faham topik ini. Jangan putus asa jika ada banyak masalah. Carilah para pensyarah dan rakan untuk membantu kamu ketika buntu!
Catat Ulasan